Saya dan Indonesia

8 April 2008 | Ditulis oleh: EWA |

Oleh Marsli N.O

SAYA mula mengenal Indonesia tidak secara langsung melalui nama Tuan Presidennya Sukarno sekitar tahun 1965. Ketika itu, nama Sukarno disebut-sebut dan jadi momokan kerana slogan dan gesaan “ganyang Malaya”.
 
Sebagai seorang anak yang baru di tahun dua sekolah dasar, rasa gerun dan takut terhadap Sukarno dan Indonesia tidak pernah ada di hati saya. Yang ada, hanya secuil rasa kagum terhadap kelantangan dan ketegasan lelaki bersongkok hitam itu.
 
Apa lagi ibu saudara saya di sebelah bapa yang berkerja sebagai koki di rumah pengurus ladang berbangsa Inggeris, secara mencuri-curi memasang siaran Radio Indonesia yang dapat didengar dengan jelas di daerah kami. Suara ucapan Sukarno selalu kami dengar dan kata “ganyang” itu memang selalu terucap.
 
Tetapi kami tetap bersikap biasa. Kami tidak pernah berfikir bahawa kata ganyang itu akan sampai mengakibahkan negeri milik kami diserang lagi oleh jiran Indonesia.
 
Malah di dalam diri saya sendiri, walau tidak sepenuh mengerti berbahasa Jawa dan sering dimarahi orang-orang tua kerana kelemahan itu, saya tetap berasa bangga punya ayah berdarah Jawa. Kerana itu juga, saya berasa Indonesia masih terlalu dekat dengan saya. Dan itu memang benar. Menurut ibu saudara saya di sebelah ayah, sanak saudara dan poyang moyang kami masih ramai di tanah asal Jawa.
 
Setelah besar dan dewasa, saya sudah berpeluang ke Indonesia. Lebih banyak mengenal Indonesia dan punya sejumlah kawan dari Indonesia.
 
Memang, yang terkesan di hati saya, beberapa teman Indonesia ini sikap dan perangainya memang agak “meninggi diri”. Namun itu masih dapat saya terima bila memikirkan Indonesia memang sebuah negara yang besar dan luas ketimbang Malaysia. Lagi pula, saya fikir, biarkanlah sebahagian mereka hendak meninggikan dirinya. Di pihak saya, saya akan biarkan sahaja mereka tenggelam sendiri dengan rasa tinggi diri mereka itu. Saya akan tetap saya juga.
 
Kerana itu, kalau sesekali teman dari Indonesia ini datang bertamu ke negeri saya dan sebahagiannya memang ada yang suka meninggikan dirinya, saya hanya akan bersikap buta dan pekak sahaja dengan mereka yang sebegini.
 
Peduli engkaulah hendak berlagak. Aku tetap dengan diri aku juga. Begitulah akan saya katakan kepada diri saya sendiri.
 
Dan sesekali, dalam hati saya, terbetik juga tanya. Kalau di negeriku mereka sudah berlagak, kalau aku ke negeri mereka bagaimanalah lagaknya mereka ini.
 
Tetapi, itu pun tidak merusuhkan saya. Kalau misalnya saya mahu ke Indonesia, tentu saja saya akan bawa bekal secukupnya. Dengan begitu, saya tidak perlu mengemis atau menyusahkan teman-teman di Indonesia
 
Saya tahu, bukan semua teman Indonesia saya suka meninggikan diri. Saya tahu masih banyak yang pandai berbudi dan menghormati jirannya. Misalnya, saya ingat dan kenal seorang penyair berusia yang namanya saya panggil akrab sebagai Pak Taufik Ismail. Begitu juga teman penyair Acep Zamzam Noor. “Teman lain yang saya kenal seperti Ersis Warmansyah Abbas, Agus R Sarjono, Maman S Mahayana dan Jamal D Rahman juga sangat sopan dan menghormati saya selaku sahabat dan jirannya.”
 
Tetapi, bila sesekali membaca dan mendengar apa yang mereka tulis dan cakap mengenai negeri saya, seolah-olah negeri saya ini penduduknya masih lagi bahlol, kejam dan kurang bertamadun berbanding mereka, terasa juga gurisan di dalam hati saya.
 
Walhal, segala kebejatan, ketidak adilan, sikap kurang cerdik dan kejam yang konon didakwakan terjadi ke atas warga Indonesia yang berada di negeri saya ini, saya dan sebahagian besar penduduk negara yang bernama Malaysia ini pun sangat tidak bersetuju dan tidak merestuinya.
 
Katalah penganiayaan terhadap pembantu rumah, serangan salah faham anggota berseragam, TKI yang diperkosa anggota keselamatan atau yang lain-lain, saya sendiri mengatakan itu perbuatan kejam, tidak berperikemanusian dan pelaku salahnya perlu dihukum sekeras mungkin.
 
Kerana itu, kepada teman atau jiran saya di Indonesia, yang berasa ingin terus meninggikan diri dan mengutuk negara saya ini, saya minta hentikanlah segera perbuatan kurang bijaknya itu.
 
Saya fikir saya tidak salah kalau saya katakan tiada gunanya kita saling berkelahi dan menuding. Sebabnya, yang akan mendapat untung serta labanya nanti adalah sebuah negara lain.
 
Sama ada kawan dan jiran saya di Indonesia mahu mepercayai kata-kata saya ini mahupun tidak, terserahlah.
 
Saya masih tetap percaya bahawa di antara saya dengan teman dan jiran saya di Indonesia, kita masih tetap sebangsa dan serumpun.
 
Dan saudara, teman dan jiranku di Indonesia, bagaimana pula saudara mempercayainya?
 
Saya fikir, kita sudah terlalu dewasa untuk saling berkelahi dan meninggi-ninggikan diri.
 
Aku amat menyenangi dan menghormati sahabat dan jiranku Indonesia. Kukira kalian mengerti akan maksudku. Dan kuharap kau juga demikian terhadap negaraku.

Post a Comment